Lonjakan minyak mentah susulan keputusan Kesatuan Eropah (EU) gagal diteruskan selepas beberapa negara anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menyingkirkan Rusia daripada kartel itu.
Terdahulu, EU telah memutuskan untuk mengenakan sekatan ke atas import minyak Rusia dengan memberi pengecualian kepada Hungary untuk mendapatkan bekalan daripada penghantaran melalui saluran paip.
Sementara penghantaran menggunakan kapal tangki pula disekat, memberi anggaran bahawa 90% minyak dari Rusia akan disekat sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.
Langkah tersebut telah memacu lonjakan komoditi hitam itu ke paras tertinggi dua bulan pada hari Selasa sebelum ia kembali merosot susulan laporan mengenai OPEC untuk menggantung penyertaan Rusia dalam perjanjian pengeluaran minyak.
Sekiranya berlaku, hal ini pastinya akan membuka peluang kepada pengeluar utama lain untuk mengeluarkan lebih banyak minyak mentah ke pasaran.
Bukan itu sahaja, malah Wall Street Journal (WSJ) melaporkan bahawa beberapa anggota OPEC telah mula merancang untuk meningkatkan pengeluaran pada bulan-bulan akan datang.
Pada sesi Asia, niaga hadapan minyak mentah Brent untuk Ogos didagangkan merosot pada $115 setong. Kontrak niaga hadapan untuk Julai ditutup tinggi pada $122.84. Dagangan WTI Amerika Syarikat pula susut pada $114 setong setelah mencecah paras tertinggi $119 setong pada sesi sebelumnya.