Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden akan mengusulkan pelan cukai minimum ke atas jutawan sebagai sebahagian daripada belanjawan fiskal 2023 yang dijangka diumumkan pada hari Isnin, menurut dokumen yang dikeluarkan White House.
Pelan yang dipanggil ‘Cukai Pendapatan Minimum Bilionair’ itu akan menetapkan kadar cukai minimum 20% ke atas isi rumah yang berpendapatan lebih $100 juta dan dijangka akan menyasarkan lebih daripada 700 jutawan di negara itu.
Isi rumah yang berada dalam kriteria tersebut perlu membayar cukai minimum 20% ke atas semua pendapatan mereka termasuk pendapatan pelaburan tidak direalisasi yang kini tidak dikenakan cukai.
Menurut dokumen itu lagi, cukai tersebut dapat membantu mengurangkan defisit belanjawan sekitar $360 bilion dalam dekad akan datang.
Bagaimanapun, bagi isi rumah yang sudah membayar 20% daripada pendapatan penuh mereka, tidak perlu membayar cukai tambahan di bawah rancang itu.
Jika membayar kurang daripada 20%, mereka akan berhutang ‘bayaran tambah nilai’ untuk memenuhi paras minimum baharu.
Sebagai pengetahuan, Demokrat Senat sebelum ini telah mencadangkan cukai ke atas jutawan untuk membantu membayar pelan utama Biden yang dikenali sebagai ‘Build Back Better’.
Namun, tiada kemajuan dibuat bagi pakej perbelanjaan tersebut kerana tidak mendapat sokongan yang mencukupi dari Senat.