Logam kuning emas mengukuh pada hari Isnin setelah beberapa negara daripada G7 menambah emas ke dalam sekatan mereka terhadap Rusia susulan pencerobohan berterusan ke atas Ukraine.
Ketika sesi Asia, emas didagangkan lebih tinggi 0.5% pada $1,835 per auns, manakala niaga hadapan emas pula menokok pada $1,836 per auns.
Pada hari Ahad, Amerika Syarikat, Britain, Jepun dan Kanada telah bersetuju untuk mengharamkan import emas dari Rusia pada hari pertama mesyuarat G7 yang akan berlangsung selama tiga hari.
Susulan pengumuman itu, Presiden AS, Joe Biden memberitahu bahawa larangan baharu tersebut akan melucutkan Rusia daripada berpuluh bilion dolar yang diperlukan negara itu untuk membiayai perangnya di Ukraine.
Rusia adalah pengeluar emas kedua terbesar di dunia, mewakili 9.5% daripada bekalan global. Pada tahun lepas, eksport emas Rusia dilaporkan bernilai lebih daripada $15 bilion.
Sekatan baharu itu dilihat boleh memberi impak terbesar kepada pasaran emas London, di mana 28% emas Rusia telah dieksport ke ibu kota Britain, menurut Bloomberg.
Dalam pada itu, harga emas turut mendapat manfaat daripada kemerosotan US dolar pada awal minggu.