Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menjangkakan ekonomi negara itu cukup kuat berdepan dengan pelbagai ancaman daripada perang di Ukraine yang meningkatkan tekanan harga dan kenaikan kadar faedah yang memperlahankan pertumbuhan.
Namun begitu, terdapat kebimbangan tentang kemerosotan ekonomi yang akan datang di kalangan beberapa penganalisis Wall Street.
Beberapa bulan akan datang akan membuktikan sama ada usaha Presiden Joe Biden untuk pemulihan dengan pakej bantuan $1.9 trilion tahun lalu akan bertahan lama, atau ekonomi merosot disebabkan bantuan kerajaan yang berlebihan.
Pengarah Majlis Ekonomi Negara White House, memberitahu bahawa kadar pengangguran 3.6% dan pertumbuhan kukuh pada tahun lepas telah meletakkan Amerika di tempat yang selamat berbanding negara lain di dunia.
Bagaimanapun, yang lain pula melihat ekonomi mungkin bergelut untuk mengekalkan pertumbuhan sambil mengurangkan inflasi yang kini berada di paras tertinggi 40 tahun pada 7.9%.
Federal Reserve (Fed) telah memberi isyarat untuk meningkatkan kadar faedah lebih agresif untuk menangani inflasi pada tahun ini, tetapi perang Ukraine-Rusia telah menggugat kestabilan pasaran tenaga dan makanan global dengan meningkatkan tekanan harga.
Deutsche Bank pada hari Selasa menjadi institusi kewangan utama pertama yang meramalkan kemelesetan AS. Sementara bekas setiausaha perbendaharaan, Larry Summers mengatakan ekonomi AS telah mengalami kemelesetan dalam tempoh dua tahun setiap kali inflasi melepasi 4% dan pengangguran di bawah 5% seperti sekarang.
Selain itu, Joe LaVorgna, yang bekerja di White House meramalkan pertumbuhan pada tahun ini hanya di bawah 1%. Namun, disebabkan pasaran buruh yang kukuh dan simpanan isi rumah, beliau menjangkakan sebarang kemerosotan akan menjadi sederhana.