Konflik yang semakin meningkat antara dua pengeluar utama minyak mentah dunia, Rusia dan Ukraine telah menambahkan lagi kebimbangan terhadap kekurangan bekalan global sekali gus mendorong dagangan komoditi hitam melonjak lebih tinggi.
Sesi pasaran Asia memperlihatkan niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan pada $95.70 setong, selepas menyentuh paras ketinggian terbaharu lebih 7 tahun pada sekitar harga $96.10 setong ketika pembukaan dagangan.
Sementara dagangan WTI Amerika Syarikat juga diniagakan tinggi pada $94.60 setong, turun sedikit susulan kenaikan harga pada $96 setong pada awal sesi, paling tinggi sejak September 2014.
Seperti pasaran kewangan lain, lonjakan dalam harga minyak mentah terjadi susulan kenyataan daripada Amerika Syarikat bahawa Rusia boleh menyerang Ukraine pada bila-bila masa sahaja.
Rusia dan Ukraine merupakan antara pengeluar terbesar minyak dunia dan sekiranya tercetus perang antara kedua-dua pihak, pengeluaran komoditi hitam itu mungkin akan menerima impak lebih besar.
Situasi tersebut menambahkan lagi kebimbangan terhadap bekalan global yang sebelum ini telah pun terhimpit akibat keputusan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya, OPEC+ yang enggan untuk menambah pengeluaran meskipun pemulihan permintaan semakin kukuh.
Sekiranya krisis ini berterusan, penganalisis tidak menolak kemungkinan bahawa harga minyak mentah dunia berpotensi meningkat lebih tinggi sehingga melebihi $100 setong.