Memasuki bulan terakhir dalam suku ke-3 (Q3) 2022, pasaran ekuiti masih didagangkan lemah dengan keuntungan tertahan dek kebimbangan kenaikan kadar faedah dan inflasi mencemarkan sentimen pelabur.
Menyingkap keadaan pasaran di Amerika Syarikat (AS), Wall Street mencatat sesi kerugian buat 4 hari berturut-turut selain mengakhiri bulan Ogos dengan prestasi paling lemah dalam tempoh 7 tahun.
Indeks Dow Jones Industrial susut 0.9% pada 31,510.43, S&P 500 turun 0.8% pada 3,955 dan Nasdaq Composite jatuh 0.6% pada 11,816.20.
Ulas Tim Ghriskey, ekuiti akan kekal dalam ketidaktentuan buat sementara waktu ini terutamanya selepas Pengerushi Fed Jerome Powell memberi isyarat hawkish dengan pelaksanaan kenaikan kadar faedahnya.
Dalam pada itu, data pekerjaan sektor swasta AS yang diterbitkan semalam menyaksikan angkanya meningkat namun gagal mencapai unjuran yang ditetapkan.
Atas faktor tersebut indeks dolar dilihat melemah sedikit namun secara keseluruhan untuk jangka panjang greenback diramalkan kekal kukuh.
Mencerap pula situasi di Asia, Nikkei 225 Jepun susut 1.05% sementara Topix gugur 0.73% tatkala Kospi Korea Selatan jatuh 1.23% dan Kosdaq hilang 0.53%.
Secara keseluruhan indeks meluas MSCI saham Asia Pasifik turun 0.53%.
Tumpuan utama bagi pasaran Asia berfokuskan kepada Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan Caixin China yang dikeluarkan pada hari ini.
Suka untuk diingatkan bahawa aktiviti perkilangan China sebelum ini telah menyusut ekoran beberapa faktor seperti Covid-19 dan gelombang haba yang terburuk dalam sejarah negara Tembok Besar tersebut.