Pada jam 9.25 pagi penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menurun 10.8 mata pada 1,558.71 daripada penutupan Khamis pada 1,569.51.
Indeks dibuka 4.28 mata pada 1,565.23.
Ia dibuka rendah ekoran kemunculan aktiviti pengambilan untung pada beberapa saham wajaran tinggi terpilih hasil keuntungan sebelum ini.
Di pasaran meluas, pelabur menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung dengan 481 berbanding 93, manakala 241 kaunter pula tidak berubah, 1,436 tidak didagangkan dan 28 digantung.
Jumlah perolehan pada 595.94 juta unit bernilai RM312.22 juta.
Nota yang dikeluarkan oleh Malacca Securities Sdn Bhd menyatakan dijangka sentimen berhati-hati pada pasaran tempatan akan kekal ekoran rali pada pasaran Wall Street.
Tambahnya lagi, pelabur masih cuba mencerna mengenai potensi kenaikan kadar yang masih tidak bertarikh.
Selain itu, ia dijangka saham teknologi akan melanjutkan dagangan termasuk saham tenaga, saham perbankan dan saham bertemakan pemulihan ekonomi.
Saham berwajaran tinggi menyaksikan Malayan Banking Bhd dan CIMB Group Holdings Bhd susut 5 sen pada RM8.45 dan RM5.54, Public Bank Bhd dan IHH Healthcare Bhd jatuh 3 sen pada RM4.21 dan RM6.62 sementara Petronas Chemicals Group Bhd turun 10 sen pada RM9.05.
Saham aktif memperlihatkan AirAsia Group Bhd susut 17.5 sen pada 57 sen, SMTrack Bhd jatuh 1.5 sen pada 27.5 sen, NWP Holdings Bhd turun 1 sen pada 19 sen sementara Xidelang Holdings Ltd kekal 4 sen.
Di papan indeks, indeks FBM Emas turun 102.97 mata pada 11,212.75, FBM Emas Shariah jatuh 128.07 mata pada 11,946.42, FBM 70 susut 219.08 mata pada 13,917.19, indeks FBMT 100 kuncup 97.41 mata pada 10,915.42 dan FBM ACE hilang 129.5 mata pada 6,359.13.
Indeks Industri Produk dan Perkhidmatan menurun 2.3 mata pada 203.8, indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 79.73 mata pada 16,143.1 sementara indeks Perladangan melayu 23.22 mata pada 6,750.76.