Pada jam 9 pagi penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.47 mata pada 1,543 daripada penutupan hari Isnin pada 1,542.53.
Indeks dibuka kukuh 5.31 mata pada 1,547.84.
Bursa memulakan sesi pada sisi positif hasil dorongan minat belian sederhana selepas sesi semalam yang berakhir pada kawasan merah, selari dengan sentimen lemah pada pasaran serantau.
Di pasaran meluas, pelabur menyaksikan kaunter untung pada 194 mengatasi kaunter rugi pada 183, manakala 270 kaunter pula tidak berubah, 1,652 tidak didagangkan dan 11 digantung.
Jumlah perolehan pada 380.12 juta unit bernilai RM144.54 juta.
Nota Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan pelabur akan memulakan sesi dagangan dengan sentimen berhati-hati menjelang terbitan kadar inflasi Malaysia pada Rabu.
Selain itu, mereka turut meramalkan aktiviti bargain-hunting muncul di sebalik kebimbangan inflasi dan sektor bertemakan pemulihan terus menjadi tumpuan.
Di samping itu, lantunan pada Wall Street mungkin membuka minat belian terhadap sektor teknologi.
Saham berwajaran tinggi menyaksikan Malayan Banking Bhd (Maybank) dan Petronas Chemicals Group Bhd kekal pada RM8.98 dan RM9.99, Public Bank Bhd tambah 1 sen pada RM4.55 sementara IHH Healthcare Bhd susut 2 sen pada RM6.53 dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) jatuh 1 sen pada RM9.19.
Saham aktif memperlihatkan Green Packet Bhd, Cnergenz Bhd, MNC Wireless Bhd dan Sapura Energy Bhd masing-masing capai 0.5 sen pada 10 sen, 58.5 sen, 2 sen dan 9 sen.
Di papan indeks, FBM ACE mencapai 18.15 mata pada 5,294.23, indeks FBM Emas Shariah meningkat 3.73 mata pada 11,468.30, indeks FBM Emas memacu 5.17 mata pada 11,047.75, indeks FBMT 100 mengumpul 5.34 mata pada 10,710.30 dan FBM 70 mengukuh 15.15 mata pada 13,218.89.
Segi sektor, indeks Industri Produk dan Perkhidmatan meningkat 0.12 mata pada 199.70, indeks Perkhidmatan Kewangan mengembang 4.34 mata pada 16,559.29 dan indeks Perladangan mencanak 22.34 mata pada 8,063.45.