“Bertabahlah Kraken, hidup memang macam ni banyak dugaan.”
Syarikat exchanger dan bank mata wang kripto berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Kraken buat keputusan untuk menutup operasinya di Jepun buat kali kedua dengan membatalkan pendaftaran daripada Agensi Perkhidmatan Kewangan pada 31 Januari 2023.
Dengan keadaan yang mencabar di Jepun serta pasaran kripto global yang semakin lemah telah menjadi penyebab penutupan tersebut berlaku berikutan syarikat dikatakan tidak mempunyai sumber cukup untuk menyokong perniagannya di negara matahari terbit itu.
Umum mengetahui bahawa anak syarikat Kraken, Payward Asia yang merupakan penyedia perkhidmatan exchanger kripto telah menutup operasinya empat tahun selepas melancarkan perkhidmatan tersebut pada tahun 2014.
Antara tujuan utama penubuhan Payward Asia adalah untuk memberi peluang pelaburan baharu kepada pedagang Jepun dan pelabur institusi.
Sejurus selepas penutupan itu berlaku pada 9 Januari 2023, syarikat tersebut akan membenarkan pengguna menukar baki masing-masing kepada aset pilihannya.
Namun jika pengguna tidak sempat menukarnya, sebarang baki dana akan dipindahkan ke Akaun Jaminan di Biro Hal Ehwal Undang-undang dan mereka perlu berurusan dengan pihak itu jika berhasrat mendapatkan semula dananya.
Sementara itu, Kraken merancang memberhentikan 1,100 pekerja susulan pasaran kripto mengalami kejatuhan drastik disebabkan krisis FTX yang turut memberi pelbagai kesan terhadap syarikat exchanger kripto.