Empat wilayah yang diduduki Rusia di Ukraine telah melaporkan majoriti besar undi yang menyokong menyertai Kremlin dalam referendum yang dilabelkan oleh Barat sebagai palsu.
Undian yang diatur dengan tergesa-gesa itu berlangsung selama lima hari di wilayah timur Donetsk dan Luhansk, Zaporizhzhia dan Kherson di selatan. Ia membentuk kira-kira 15% daripada wilayah Ukraine.
Jumlah undian daripada keputusan lengkap pada hari Selasa di wilayah-wilayah tersebut adalah antara 87% hingga 99.2% memihak untuk menyertai Rusia.
Ketua dewan tetinggi parlimen Rusia berkata dewan itu mungkin mempertimbangkan penaklukan pada 4 Oktober.
“Keputusannya jelas. Selamat pulang, ke Rusia!,” Dmitry Medvedev, bekas presiden yang berkhidmat sebagai timbalan pengerusi Majlis Keselamatan Rusia berkata di Telegram.
Dalam wilayah yang diduduki, pegawai Rusia membawa peti undi dari rumah ke rumah, satu tindakan yang dikatakan oleh Ukraine dan Barat sebagai tidak sah.
Amerika Syarikat akan memperkenalkan resolusi di Majlis Keselamatan PBB yang menyeru negara anggota supaya tidak mengiktiraf sebarang perubahan ke atas Ukraine dan mewajibkan Rusia menarik balik tenteranya.
Jika Rusia menggabungkan empat wilayah Ukraine, Presiden Vladimir Putin boleh menggambarkan sebarang percubaan Ukraine untuk menawan semula mereka sebagai serangan ke atas Moscow sendiri.
Putin berkata minggu lalu beliau sanggup menggunakan senjata nuklear untuk mempertahankan ‘integriti wilayah’ Rusia.