‘Alamak Covid ada geng baru lagi lah. Cepat betul dia membiak ye.’
Sejenis varian baharu virus Covid-19, BA.2.75 atau diberi gelaran ‘Centaurus’ telah dikesan di 10 buah negara termasuk United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).
Menurut perkhidmatan berita kesihatan, Media Xpress, varian Centaurus pertama kali dikenal pasti merebak dengan pantas di India selain mempunyai kemampuan mengatasi imuniti vaksin serta menjangkiti mereka yang pernah dijangkiti.
Tambah portal tersebut lagi bahawa masih tidak jelas sama ada varian baharu tersebut lebih serius daripada varian Omicron ataupun BA.5 yang sedang mengganas di seluruh dunia.
Asas tersebut dicapai selepas memetik kata pengarah virologi Mayo Clinic, Matthew Binnicker yang menyatakan masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan berkenaan BA.2.75.
Ulas beliau lagi, penularan Centaurus di India menunjukkan peningkatan eksponen dan belum dapat dipastikan sama ada varian tersebut mengatasi BA.5.
Buat masa ini 10 negara termasuk Australia, Jerman, UK dan Kanada dikesan memiliki varian tersebut.
Satu fakta menarik untuk dikongsi, nama Centaurus tersebut telah diberikan media kerana varian tersebut masih belum menerima nama rasmi dalam tatanama varian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) SARS-CoV 2.
Dalam pada itu, Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) menetapkan varian Centaurus sebagai varian dalam pemantauan (VUM) pada 7 Julai lalu sebelum ditingkatkan kepada varian penting (VOI) seminggu kemudian.
Sungguhpun begitu ECDC tidak mengeluarkan sebarang maklumat mengenai kebolehjangkitan, keseriusan penyakit atau pelepasan imun terhadap varian tersebut.
Pada sisi berbeza, WHO menetapkan BA.2.75 sebagai varian keturunan dalam pemantauan (VOC-LUM) ekoran terdapat trend meningkat di India.
Ia diperjelaskan bahawa keturunan SARS-CoV 2 menyumbang 10% genom di negara tersebut pada minggu ke-25 dan data awal bagi minggu ke-26 memperlihatkan peningkatan selanjutnya.