Golongan “kaki shopping” pasti tidak sabar apabila Mexico merasmikan pusat beli-belah metaverse pertamanya yang dinamakan Island Shopping Mall.
Menurut saluran media tempatan Cultura Empresarial, para pengguna perlu memuat turun aplikasi pusat beli-belah tersebut di Appstore dan Google Play jika berkeinginan untuk menikmati pelbagai pengalaman unik.
Tambahnya lagi, pengguna turut dibenarkan membuat pembelian dalam talian serta memperoleh permata dan token untuk ditukarkan kepada kupon diskaun produk di pusat beli-belah tersebut.
Difahamkan juga bahawa 80 jenama telah disahkan secara rasmi dengan membahagikan kategori setiap produk itu agar pengguna dapat membuat pembelian secara mudah.
Antara jenama terkemuka yang disahkan adalah Bath & Body Works, LA Colors, GOC, Bissú, Golden, LA Girl, Momiji, Pai Pai, dan Victoria’s Secret sementara pemaju Island Shopping Mall turut memeterai perjanjian bersama “The Savings Group Limited”.
Hal ini berikutan kerana ia merupakan syarikat terkemuka Britain yang mampu mewujudkan kupon diskaun tersebut untuk mengintegrasikan 879 jenama seperti Adidas, Nike, Puma, Bershka, Guess, Apple dan Levi’s.
Namun begitu, terdapat beberapa jenama terkenal berikut telah mengorak langkah lebih awal mendalami metaverse, seperti Nike mengembangkan strategi perniagaannya pada non-fungible token (NFT), Guess melangsungkan kedai metaverse manakala Apple reka perkakasan sendiri bagi mencipta pengalaman alam maya itu.
Secara konteks, kebanyakan rakyat Mexico kini lebih berminat membuat pelaburan dalam metaverse ekoran negara tersebut pernah melancarkan “Metaverse Mexico Bootcamp” pada bulan lepas.
Diperjelaskan lagi, acara itu berfungsi sebagai latihan model perniagaan dalam metaverse, memberikan pendedahan berkaitan penggunaan mata wang kripto serta menawarkan kuliah dan pameran.
Setakat penulisan ini, pasaran metaverse Mexico adalah terbesar di Amerika Latin susulan mempunyai 13,000 pelabur yang telah mengeluarkan sejumlah wang besar untuk syarikat metaverse.