China terus merancakkan penggunaan yuan digital di seluruh negara.
Terbaharu, yuan digital dikhabarkan telah diterima untuk pengangkutan awam seperti trem di Guangzhou dan boleh juga digunakan untuk tambah nilai kad pengangkutan awam bandar di Xiamen.
Berdasarkan laporan daripada media Guangzhou, segala transaksi tambang trem Laluan 1 boleh dilakukan melalui kaedah imbas kod QR di aplikasi yuan digital.
Manakala kad pengangkutan awam di Xiamen boleh ditambah nilai menggunakan yuan digital bermula 6 Mei.
Dijangka penggunaan yuan digital di bandar Xiamen akan dikembangkan untuk pembayaran tambang pengangkutan awam menggunakan kod QR pada masa akan datang.
Pengujian yuan digital sebenarnya sudah pun dilancarkan ke seluruh China, melibatkan 23 bandar sejak Oktober 2020 secara berfasa.
Ia kemudian diteruskan untuk seluruh sektor secara berperingkatan dan industri pengangkutan awam bagi 12 bandar di China sudah pun menjalankan pengujian yuan digital setakat ini.
Sebagai rekod, yuan digital (atau dikenali sebagai e-CNY) telah mencapai transaksi berjumlah 87.565 bilion yuan pada akhir 2021.