Harga minyak jatuh lebih 1% pada Isnin, menghapuskan beberapa keuntungan yang diraihnya susulan laporan China akan melonggarkan sekatan Covid-19.
Pada Jumaat, terdapat ura-ura mengatakan China akan meredakan sekatan pengangkutan udaranya, yang dilihat dapat mendorong lonjakan permintaan bahan bakar dari ekonomi gergasi kedua dunia itu.
Namun, semua harapan itu terpadam apabila pada hujung minggu Beijing menafikan laporan tersebut selain turut menyaksikan lonjakan lebih tinggi dalam jangkitan kes coronavirus di beberapa bandar.
Komoditi hitam yang pada mulanya melonjak tinggi, kembali merosot pada pembukaan dagangan minggu ini.
Sesi Asia menyaksikan, niaga hadapan minyak Brent susut 1.2% kepada $97 setong, manakala dagangan WTI Amerika Syarikat pula didagangkan pada $91 setong setelah jatuh sekitar 1.3%.
Kedua-dua penanda aras menamatkan dagangan minggu lalu dengan kukuh, di mana minyak Brent meningkat 2.9% dan WTI AS pula menokok 5.4%.