Sentimen pasaran yang menyuramkan mendominasi pasaran pada awal minggu susulan situasi Covid-19 yang bertambah buruk di China.
Langkah kawalan diperketatkan apabila Beijing memberi amaran bahawa ia sedang berdepan ujian paling teruk akibat wabak coronavirus, menyebabkan penutupan perniagaan dan sekolah di daerah yang terkesan.
Situasi ini telah memberi kelebihan buat dolar Amerika untuk mencatat peningkatan pada awal minggu, mendorong kebanyakan mata wang utama menyusut rendah.
Terbaharu, pengawal selia bank China dan People’s Bank of China (PBOC) mengemukakan rayuan kepada institusi kewangan untuk meningkatkan sokongan kewangan untuk menstabilkan ekonomi.
Ini disusuli dengan langkah pengeluaran 200 bilion yuan sebagai pinjaman khas untuk membantu sektor hartanah yang sebelum ini terus terjejas, sedikit sebanyak membantu meredakan kebimbangan pasaran.
Dalam pada itu, pelabur turut memberi tumpuan kepada hala tuju penetapan dasar monetari Federal Reserve (Fed) yang seterusnya dengan penerbitan laporan minit mesyuarat FOMC pada awal pagi Khamis.
Meneliti perkembangan mata wang utama, euro didagangkan sedikit berubah ketika pegawai Bank Pusat Eropah (ECB) terus memberi petunjuk untuk kenaikan kadar yang berterusan pada mesyuarat Disember.
Sementara itu, mata wang pound sedikit meningkat susulan kerugian yang dicatatkan pada sesi terdahulu, bagaimanapun pergerakan harga dilihat masih terbatas disebabkan pengukuhan US dolar.