Di sebalik tekanan yang diberikan kepada sekutu Eropah untuk tidak membeli minyak Rusia, Amerika Syarikat rupanya telah meningkatkan bekalan minyak mentah dari Moscow sebanyak 43% atau 100,000 tong sehari sepanjang minggu lalu.
Global Times melaporkan kenyataan tersebut daripada Timbalan Setiausaha Majlis Keselamatan Rusia Mikhail Popov pada hari Ahad, di mana pengkritik mencadangkan bahawa AS hanya mengejar kepentingannya sendiri dengan ‘mempergunakan’ sekutu Eropahnya.
Kata pegawai Rusia itu lagi, Eropah sepatutnya sudah menjangkakan ‘kejutan’ serupa daripada AS.
Amerika dan sekutunya telah berusaha untuk mengharamkan import minyak Rusia sejak konflik Rusia-Ukraine bermula, walaupun pada hakikatnya Eropah sangat bergantung kepada Moscow untuk minyak mentah dan gas asli.
Eropah berdepan tekanan daripada AS dan UK untuk melaksanakan sekatan terhadap minyak Rusia, di mana Britain mengumumkan ia akan mengurangkan kebergantungannya terhadap import Rusia sebelum akhir tahun ini.
Dalam pada itu, Amerika juga dikatakan membenarkan syarikatnya mengeksport baja mineral dari Rusia dengan mengiktirafnya sebagai barangan keperluan.
Menurut laporan Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA), yang dipetik oleh Reuters, jumlah import minyak Rusia oleh AS telah meningkat sebanyak 43% dari 19 hingga 25 Mac berbanding minggu sebelumnya. Ini menunjukkan AS telah mengimport sehingga 100,000 tong minyak mentah Rusia setiap hari.
Peningkatan itu berlaku walaupun Presiden Joe Biden telah menandatangani perintah eksekutif pada 8 Mac. Peraturan itu melarang import tenaga dan pelaburan baharu dalam sektor tenaga Rusia.