Harga minyak kembali meningkat selepas bacaan memberangsangkan dalam data industri minyak mentah AS mengimbangi kejatuhan yang dicatatkan susulan perkembangan positif dalam rundingan damai Ukraine dan Rusia.
Terbaharu, data daripada Institut Petroleum Amerika (API) melaporkan penurunan dalam bekalan minyak mentah AS sebanyak 3 juta tong pada minggu lalu, tiga kali ganda lebih baik dari jangkaan penganalisis.
Ini mendorong dagangan minyak Brent untuk memadamkan kerugian 2% yang dicatatkan sebelum ini dengan meningkat semula pada $111 setong.
Dagangan minyak mentah WTI Amerika Syarikat pula menokok pada $105 setong setelah menghapuskan penyusutan sebanyak 1.6% yang dicatatkan pada Selasa.
Kedua-dua penanda aras itu sebelum ini susut parah berikutan laporan yang menyatakan terdapat kemajuan positif dalam rundingan antara Rusia dan Ukraine. Moscow juga mengumumkan ia akan mengurangkan operasi ketenteraannya di Kiev dan bandar lain susulan pertemuan tersebut.
Sementara itu, pelabur kini menantikan mesyuarat OPEC+ yang dijadualkan berlangsung pada Khamis, di mana kumpulan itu dijangka akan terus mengekalkan pengeluaran semasa pada bulan Mei sebanyak 400,000 tong sehari.