Emas turut mempamerkan pergerakan yang tidak menentu susulan keluaran data inflasi Amerika Syarikat, memperlihatkannya junam ke paras terendah dua minggu sebelum melonjak semula.
Indeks harga pengguna (CPI) tahunan AS menurun lebih perlahan daripada dijangkakan pada September dengan catatan 8.2% daripada 8.3% sebelumnya, berbanding jangkaan untuk susut kepada 8.1%.
Sementara pada asas bulanan, CPI meningkat 0.4% melebihi jangkaan untuk peningkatan 0.2% dan lebih tinggi daripada bacaan pada Ogos 0.1%.
Ini secara tidak langsung menunjukkan inflasi masih tinggi walaupun sedikit menurun pada bulan lalu dan pasaran mengekalkan jangkaan untuk satu lagi kenaikan 75 mata asas oleh Federal Reserve (Fed) pada mesyuarat polisi November.
Logam kuning emas pada mulanya merosot rendah pada $1,642 per auns selepas bacaan inflasi dikeluarkan, namun kembali melantun untuk didagangkan sekitar harga $1,677 per auns pada sesi Asia.
Pergerakan yang dipaparkan sejajar dengan dagangan US dolar yang pada awalnya melonjak tetapi menjunam semula.
Bagaimanapun, pelabur perlu berwaspada memandangkan pasaran kini menuju ke penghujung minggu dan faktor-faktor sentimen pasaran masih menyokong US dolar dalam jangka panjang.