Data pekerjaan Australia menghiasi dagangan sesi Asia hari ini yang memperlihatkan bacaan lebih kukuh daripada jangkaan dan memberi kekuatan untuk dolar Aussie mencatat peningkatan.
Biro Statistik Australia (ABS) melaporkan kadar pengangguran jatuh kepada 4.2% daripada 4.6% pada bulan Disember, iaitu paras terendah pernah dicatatkan sejak 2008 dengan melebihi jangkaan untuk menurun pada 4.5%.
Selain itu, ekonomi Australia juga dilaporkan telah membuat tambahan pekerjaan sebanyak 64,800 pada bulan lepas berbanding jangkaan untuk kenaikan 60,000.
Ekoran daripada itu, dolar Aussie diniagakan 0.3% lebih tinggi dengan meningkat pada sekitar harga 0.7240 berbanding US dolar.
Pekerjaan merupakan antara data utama yang terakhir sebelum Bank Pusat Australia (RBA) pada 1 Februari yang bakal memutuskan sama ada pelonggaran kuantitatif mereka akan dikurangkan atau terus ditamatkan bergantung pada prospek ekonomi.
Dalam pada itu, peningkatan dolar Aussie turut disokong oleh China yang telah mengurangkan kadar faedah untuk pinjaman korporat dan isi rumah sebagai langkah untuk menyokong pemulihan ekonomi.
China merupakan pasaran eksport tunggal terbesar Australia dan sebarang perubahan dasar yang akan menyokong permintaan dilihat sebagai positif untuk dolar Aussie.