Minyak mentah didagangkan merosot pada awal minggu dipengaruhi oleh prospek permintaan global yang membimbangkan selepas diperlihatkan data daripada China.
Pada sesi Asia, niaga hadapan minyak mentah WTI Amerika Syarikat didagangkan susut pada $97 setong sementara dagangan Brent pula sedikit merosot pada $102 setong.
Data rasmi China yang dikeluarkan pada hujung minggu menunjukkan aktiviti kilang di pengimport minyak terbesar dunia menguncup pada bulan Julai.
Ini susulan langkah sekatan Covid-19 yang dilaksanakan di kawasan-kawasan tertentu menyebabkan aktiviti ekonomi terpaksa ditutup.
Selain itu, pelabur turut diperlihatkan dengan data pembuatan di Jepun yang berkembang pada kadar terlemah dalam tempoh 10 bulan pada Julai. Jepun juga merupakan salah satu pengguna terbesar minyak mentah dunia.
Data minggu lalu juga menunjukkan ekonomi Amerika Syarikat menyusut untuk suku kedua berturut-turut dengan inflasi yang melonjak dan pengetatan monetari selanjutnya dijangka mengekalkan tekanan ke atas pertumbuhan.
Pasaran kini menantikan mesyuarat OPEC+ pada hari Rabu yang dijangka akan tetap dengan pendirian untuk mengekalkan pengeluaran semasa di tengah-tengah kekangan bekalan.