Dunia kini berada dalam krisis tenaga global yang pertama, kata ketua Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) pada Selasa.
Pengarah Eksekutif IEA Fatih Birol berkata peningkatan import gas asli cecair (LNG) ke Eropah dan potensi pemulihan permintaan China akan memberi tekanan pada pasaran.
Malah, keputusan OPEC+ baru-baru ini untuk memotong pengeluaran 2 juta tong sehari juga mencetuskan risiko kerana ia dikhuatiri tidak dapat menampung permintaan yang turut meningkat.
Ujar beliau, tindakan tersebut amat berisiko kerana beberapa ekonomi di seluruh dunia kini berada di ambang kemelesetan.
Namun, Birol juga berkata krisis tenaga semasa boleh menjadi titik perubahan dalam sejarah tenaga untuk mempercepatkan sumber tenaga alternatif dan membentuk sistem yang mampan dan terjamin.
Selain itu, beliau turut menekankan bahawa dunia masih memerlukan minyak Rusia untuk memenuhi permintaan pasaran.
Beberapa negara Barat kini sedang berusaha untuk meletakkan had harga minyak Rusia bagi membataskan pendapatan minyaknya sebagai tindak balas kepada pencerobohan Ukraine.
Pada waktu penulisan, niaga hadapan minyak Brent didagangkan mendatar pada $91 setong, manakala dagangan WTI Amerika Syarikat mendatar pada $84 setong.