‘Dah mula dah cabar mencabar dia, si Elon Musk ni.’
Menerusi satu ciapan di laman Twitter, jutawan terkaya dunia Elon Musk secara terbuka mencabar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Twitter, Parag Agrawal untuk berhujah dalam sesi debat terbuka.
Sesi perdebatan diusulkan Musk tersebut adalah untuk berhujah mengenai peratusan spam bot dalam platform media sosial itu, yang sehingga kini menjadi alasan utama kegagalan perjanjian pemerolehan $44 bilion Twitter.
Tulis Musk pada ciapannya, beliau mencabar Agrawal membuktikan bahawa Twitter mempunyai kurang 5% spam bot dalam platform media sosialnya.
Musk juga dilihat menjalankan satu undian atas talian (online) dengan bertanya kepada pengguna sama ada mereka bersetuju atau tidak Twitter mempunyai lebih 5% akaun palsu/spam.
Umumnya, kontroversi pemerolehan Twitter bernilai $44 bilion bersama Musk berakhir dengan kedua-dua pihak menuding jari antara satu sama lain.
Di sisi Musk, beliau menyatakan bahawa Twitter enggan mendedahkan maklumat yang diminta serta mengabaikan keperluan yang diminta olehnya dalam memastikan perjanjian tersebut tercapai.
Pada sisi Tiwtter pula, Musk dikatakan sengaja mencari alasan menamatkan perjanjian dengan membangkitkan isu spam bot selepas beberapa kali menangguhkan perjanjian bagi membuka peluang pemerolehan pada harga rendah.
Rentetan itu, Musk telah memfailkan saman terhadap Twitter terlebih dahulu pada 29 Julai dan secara tidak langsung menambah rantaian kontroversi tersebut.