Pasaran sekali lagi digemparkan dengan lonjakan drastik harga emas ketika pelabur bersiap sedia menjelang terbitan data inflasi Amerika Syarikat pada Khamis.
Membuka tirai sesi Asia, logam kuning itu didagangkan lebih tinggi pada sekitar harga $1,708 per auns, manakala niaga hadapan emas pula sedikit meningkat pada $1,710 per auns.
Dagangan emas berjaya mencatat keuntungan lebih 2% pada sesi terdahulu, yang menyaksikannya mencapai paras tertinggi satu bulan pada harga $1,716 per auns.
Ini dapat disaksikan pada pergerakan harga carta pasangan logam emas berbanding US dolar yang melonjak sekitar 500 pips pada sesi New York.
Pengukuhan ini diraih susulan kelemahan berterusan dalam dagangan US dolar yang telah merudum jatuh ke paras terendah satu bulan berbanding pesaing utamanya.
Selain itu, ia juga dikaitkan dengan pilihan raya pertengahan penggal AS, di mana rakyat Amerika telah membuang undi terakhir mereka pada Selasa.
Dengan jangkaan keputusan akan diketahui beberapa hari lagi, ia dikatakan boleh memberi kesan ke atas US dolar sekiranya Parti Demokrat Presiden Joe Biden tidak dapat mengekalkan kawalan kedua-dua Dewan Rakyat dan Senat.
Sementara itu, pelabur terus berhati-hati menjelang pengeluaran data inflasi AS yang dijangka menurun kepada 6.5% tahun ke tahun pada bulan Oktober.