Niaga hadapan komoditi minyak melonjak 2% dengan OPEC+ berpegang teguh kepada polisi asalnya dan terdapat berita baik dari China.
Hasil mesyuarat OPEC+ memutuskan untuk mengekalkan dasar pengurangan pengeluaran minyak sebanyak 2 juta tong sehari, lebih kurang 2% keseluruhan permintaan global bermula November hingga akhir 2023.
Pada masa yang sama juga kerajaan Xi Jinping mengumumkan lebih banyak bandar-bandar utama China bakal melonggarkan sekatan Covid-19, menandakan isyarat positif kepada permintaan minyak.
Ekoran itu, niaga hadapan minyak mentah Brent naik 2.29% pada $87.53 setong sementara minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat (AS) canak 2.2% pada $81.78 setong.
Ulas penganalisis bahawa keputusan tersebut sememangnya sudah dijangka lebih-lebih lagi menjelang isu sekatan hasil minyak dari Rusia.
Kesatuan Eropah (EU) minggu lalu mengesahkan had harga import minyak mentah laut Rusia bermula hari ini, diikuti AS dan ahli G7 yang turut sama mengambil pendekatan serupa dengan penjualan minyak Rusia ke negara-negara lain.
Sebelum ini harga minyak susut ke bawah paras $90 setong berbanding $120 awal Jun lalu menjelang potensi sekatan minyak Rusia dan kelemahan permintaan minyak mentah China ekoran sekatan Covid-19.