Harga minyak mentah terus terbantut susulan perkembangan terbaharu mengenai rundingan Ukraine dan Rusia meningkatkan harapan bahawa penyelesaian diplomatik dapat dicapai walaupun serangan masih lagi berterusan.
Pada sesi Eropah, niaga hadapan minyak mentah Brent diniagakan susut sekitar 2.6% pada $109 setong, melanjutkan penurunan yang dicatatkan pada minggu lalu.
Sementara penanda aras WTI Amerika Syarikat pula turun sekitar 3% dengan didagangkan pada $105 setong.
Rusia dan Ukraine memberi kenyataan optimis selepas rundingan pada hujung minggu yang memberi indikasi bahawa mungkin terdapat hasil positif dalam beberapa hari lagi.
Pelabur kini menantikan laporan daripada Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan OPEC yang kedua-duanya dijangka akan menunjukkan lebihan dalam bekalan minyak mentah untuk tahun ini.
Selain itu, pelabur juga mengikuti perkembangan mengenai rundingan nuklear Iran yang masih di jalan buntu selepas permintaan Rusia pada saat-saat akhir telah memaksa kuasa dunia menghentikan rundingan.
Kedua-dua penanda aras minyak mentah telah melonjak sejak serangan Rusia ke atas Ukraine bermula pada 24 Februari, dengan catatan sekitar 40% pada tahun ini.