Harga emas kembali meningkat dari paras terendah dua minggu apabila pelabur beralih semula kepada safe-haven susulan kebimbangan terhadap kenaikan inflasi global yang terutamanya disebabkan lonjakan kos tenaga.
Bagaimanapun, US dolar dan hasil perbendaharaan yang lebih kukuh menghalang logam berharga itu daripada meningkat lebih tinggi dan kekal tersekat di sekitar paras harga $1,850 per auns.
Pada sesi dagangan Asia, spot emas didagangkan stabil pada $1,845 per auns, manakala niaga hadapan emas pula diperdagangkan pada $1,947 per auns.
Menurut penganalisis, pelabur kini terdesak untuk mendapatkan lebih banyak safe-haven daripada hanya memegang bon dan itulah sebabnya emas mempamerkan prestasi lebih baik.
Risiko tekanan inflasi kembali menghantui pelabur selepas Zon Eropah sekali lagi mencatat rekod baharu dalam kenaikan harga penggunanya dengan meningkat lebih tinggi pada bulan Mei.
Hal ini menyebabkan kebimbangan pelabur bahawa sekatan terbaharu ke atas import minyak Rusia oleh Kesatuan Eropah (EU) akan memacu kenaikan kos tenaga lebih tinggi dan menambah tekanan inflasi global secara menyeluruh.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif JPMorgan Chase, Jamie Dimon telah memberi amaran kepada pelabur untuk bersiap sedia dengan ‘taufan ekonomi’ yang dicetuskan oleh Federal Reserve dan perang di Ukraine.