Emas kekal didagangkan lebih tinggi pada Jumaat, disokong oleh jangkaan pasaran untuk kenaikan kadar faedah yang lebih kecil oleh Federal Reserve (Fed).
Umumnya, pergerakan mendatar turut diperlihatkan logam kuning itu dengan diniagakan sedikit berubah pada $1,757 per auns pada sesi Asia.
Hal ini kerana, pelabur mengekang diri daripada memasuki posisi di tengah-tengah penutupan saham dan bon Amerika Syarikat sempena cuti Thanksgiving Day.
Namun dengan dagangan US dolar yang kekal rendah, emas memanfaatkan peluang ini untuk terus didagangkan lebih tinggi.
Selain itu, emas turut mendapat dukungan daripada jangkaan pasaran untuk kenaikan kadar faedah yang lebih rendah sebanyak 50 mata asas pada mesyuarat polisi Disember.
Ini susulan minit mesyuarat FOMC yang dikeluarkan pada awal pagi Khamis, di mana para penggubal dasar menyatakan adalah wajar untuk memperlahankan kadar kenaikan dalam kadar faedahnya untuk mengukur kesan ekonomi daripada langkah agresifnya tahun ini.
Ia secara tidak langsung menunjukkan tekanan yang agak rendah ke atas pasaran logam berharga itu dalam jangka masa terdekat.