Kemerosotan dalam hasil bon AS dan dagangan dolar greenback sedikit sebanyak membantu menyokong harga emas untuk meningkat lebih tinggi pada sesi Eropah sehingga ke awal sesi New York.
Walaupun begitu, peningkatan tersebut kembali berkurang selepas logam kuning itu terkesan dengan kenyataan Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell bahawa bank pusat itu komited untuk melawan inflasi dengan menaikkan kadar faedah pada kadar yang bersesuaian.
Ketika sesi dagangan Asia, logam berharga itu didagangkan pada $1,832 per auns, merosot dari paras $1,847 yang dicapainya pada sesi sebelum ini.
Pasaran kini menjangkakan kadar dana Fed akan memuncak pada sekitar 3.6% menjelang pertengahan tahun depan, menurut niaga hadapan kadar faedah.
Sementara itu, peningkatan dalam inflasi global berterusan, apabila UK terus mencatat rekod baharu tertinggi 40 tahun pada bulan Mei dengan meningkat kepada 9.1%. Inflasi di Kanada pula meningkat ke paras tertinggi sejak 1983, pada 7.7%.
Dalam pada itu, emas berpotensi untuk menjadi antara aset yang mungkin menjadi sasaran pusingan seterusnya Kesatuan Eropah (EU) ke atas Rusia, menurut draf dokumen yang ditunjukkan pada Selasa.