Jangkaan pengetatan dasar monetari selanjutnya oleh Federal Reserve (Fed) terus memberi tekanan buat dagangan emas untuk meneruskan penurunan lebih rendah.
Setelah menaikkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas pada mesyuarat polisi minggu lalu, bank pusat AS terus komited untuk melaksanakan pengetatan selanjutnya bagi memerangi inflasi.
Jangkaan ini telah mendorong US dolar ke puncak tertinggi 20 tahun dan hasil perbendaharaan AS 10 tahun pula meningkat ke paras paling tinggi sejak November 2018, pada 3.20%.
Namun, penyusutan dalam hasil bon yang dipaparkan pada sesi Asia sedikit memberi peluang buat logam kuning emas untuk meningkat tetapi kekal lemah di paras terendah tiga bulan.
Hal ini kerana, pasaran dibelenggu oleh kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi global yang menyuramkan disebabkan ketidakpastian daripada perang di Ukraine dan penutupan Covid-19 di China.
Ketika penulisan, emas diperdagangkan sedikit meningkat pada $1,857 per auns manakala niaga hadapan emas pula susut pada $1,856 per auns.
Tumpuan pelabur kini beralih kepada penerbitan data inflasi Amerika Syarikat pada hari Rabu yang dijangka akan menunjukkan pertumbuhan yang sedikit perlahan berbanding bulan sebelumnya.