Logam kuning emas terus susut lebih rendah pada Selasa setelah ditekan oleh pengukuhan hasil bon AS 10 tahun dan raja mata wang US dolar.
Pada sesi Asia, logam berharga itu diperdagangkan pada sekitar harga $1,927 per auns setelah jatuh lebih 1.7% pada sesi sebelumnya.
Pasaran kini menjangkakan tindakan lebih agresif daripada Federal Reserve (Fed) dalam menaikkan kadar faedah, termasuk kenaikan 50 mata asas pada mesyuarat FOMC Mei, dan mungkin sama pada mesyuarat selepas itu.
Bagi mengurangkan tekanan inflasi, penggubal dasar Fed tidak mempunyai pilihan lain selain menaikkan kadar faedah dan mengurangkan rangsangan dalam ekonomi.
Jangkaan tersebut telah mendorong hasil bon 10 tahun lebih tinggi sehingga mencecah paras ketinggian terbaharu sejak April 2019 pada 2.55% sebelum sedikit susut pada sesi Asia hari ini.
Pada minggu ini, data utama yang bakal mempengaruhi pergerakan besar dalam dagangan emas dan US dolar adalah penerbitan laporan pekerjaan NFP Amerika Syarikat dan data perbelanjaan peribadi pengguna (PCE).
Sementara itu secara berasingan, berita mengenai pelaksanaan langkah sekatan baharu Covid-19 di Shanghai pada awal minggu malangnya gagal memberi manfaat buat logam kuning itu.