Mata wang euro meningkat pada awal sesi Eropah di tengah kewaspadaan pelabur ketika perunding Ukraine dan Rusia bersedia untuk rundingan damai secara langsung di Turki.
Harapan untuk rundingan tersebut mendorong dagangan US dolar untuk sedikit merosot dari keuntungan yang dicatatkan pada sesi sebelum ini. Sementara hasil bon AS 10 tahun pula meningkat lebih tinggi pada 2.5%.
Walaupun begitu, faktor keseluruhan dalam pasaran masih menyokong US dolar berikutan jangkaan pelabur terhadap kenaikan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed) yang lebih agresif.
Sebarang langkah ke arah gencatan senjata atau perjanjian damai yang berpotensi akan menyokong euro memandangkan Zon Eropah dilihat mengalami kesan ekonomi paling ketara akibat konflik itu.
Ini dapat disaksikan daripada data terbaharu yang diterbitkan pada awal sesi, di mana keyakinan pengguna Jerman menunjukkan penurunan ke tahap terendah satu tahun menjelang bulan April.
Penurunan ini mungkin berpunca oleh ketidakpastian yang ditimbulkan oleh perang di Ukraine yang mendorong jangkaan ekonomi dan pendapatan isi rumah ke paras terendah baharu sejak krisis kewangan 2009.
Sementara itu, mata wang pound terjun ke paras terendah terbaharu sejak November 2020 selepas terkesan oleh kenyataan Gabenor Bank Pusat England (BOE) Andrew Bailey mengenai ketidakpastian dalam keputusan kadar faedah pada bulan Mei.