Coinbase mengumumkan bahawa ia akan melanjutkan pembekuan pengambilan pekerjanya dan membatalkan beberapa tawaran yang telah diterima, ketika ia bergelut untuk menangani impak daripada keadaan ekonomi semasa.
Platform pertukaran kripto ketiga terbesar mengikut jumlah permodalan pasaran itu telah mula memperlahankan pengambilan pekerja dua minggu lalu kerana kebimbangan kenaikan kadar faedah menggegarkan pasaran mata wang kripto.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan dalam blognya pada Khamis, ketua pegawai L.J. Brock mengakui bahawa pasaran kripto sentiasa tidak menentu, tetapi turun naik yang berlaku bersama-sama faktor ekonomi yang lebih besar mungkin menguji syarikat.
Selain itu, beliau turut menambah bahawa pembekuan pengambilan pekerja akan berterusan selagi kemelesetan makroekonomi berterusan dan ia juga bakal digunakan untuk pengisian semula.
Walau bagaimanapun, mana-mana jawatan yang diperlukan untuk keselamatan dan pematuhan masih akan ada pengganti.
Saham Coinbase bergerak mendatar selepas pengumuman tersebut dikeluarkan. Saham syarikat itu telah turun lebih daripada 75% sejak kemunculan pasarannya tahun lepas melaluui penyenaraian langsung.
Pada bulan lepas, Coinbase melaporkan kemerosotan 35% dalam jumlah hasil kepada $1.17 bilion untuk tiga bulan berakhir 31 Mac, meleset daripada jangkaan penganalisis dan membebankan sentimen pelabur.