Para pemimpin G7 mempunyai rancangan untuk mengumpul dana swasta dan awam sebanyak $600 bilion dalam tempoh lima tahun bagi membiayai infrastruktur ke atas negara membangun.
Pelan infrastruktur itu pada awalnya diumumkan pada sidang kemuncak G7 2021 di Britain yang digelar sebagai ‘Build Back Better World’. Namun, ia kini dilancarkan semula dengan gelaran baharu sebagai Perkongsian untuk Infrastruktur dan Pembangunan Global.
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden berkata rancangan itu akan memberi manfaat untuk semua orang yang membolehkan negara-negara melihat faedah konkrit bekerjasama dengan negara demokrasi.
AS telah berjanji untuk mengumpul $200 bilion daripada jumlah itu melalui geran, dana persekutuan dan pelaburan swasta, manakala €300 bilion lagi telah diumumkan oleh Kesatuan Eropah (EU).
Projek itu akan menjurus ke arah menangani perubahan iklim, meningkatkan kesihatan global, mencapai kesaksamaan jantina dan membina infrastruktur digital.
Beberapa projek yang diketengahkan termasuk projek berkuasa solar di Angola, kemudahan pembuatan vaksin di Senegal dan kabel telekomunikasi dasar laut sejauh 1,000 batu yang menghubungkan Singapura ke Mesir melalui Horn of Africa atau Semenanjung Somalia.
Pelan itu dilihat sebagai salah satu usaha untuk ‘melawan’ Belt and Road oleh China yang disifatkan sebagai membebankan negara-negara membangun dengan hutang dengan memaksa mereka untuk menyerahkan aset utama jika gagal membayar balik hutang tersebut.