Presiden Vladimir Putin berkata bahawa Rusia mahu menamatkan perangnya dengan Ukraine dengan menegaskan pertempuran itu perlu diakhiri secepat mungkin.
Kenyataan itu dibuat selepas Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mengadakan kunjungan ke White House pada Khamis untuk bertemu Presiden Amerika Syarikat Joe Biden.
Ketika pertemuan tersebut, Biden menjanjikan sokongan AS yang beterusan dan tidak berbelah bahagi kepada Kyiv.
Dalam kenyataan mengejut itu, Putin mengatakan matlamatnya bukanlah untuk meningkatkan konflik ketenteraan, tetapi mahu menamatkan perang ini.
Tambah beliau, pihaknya akan berusaha untuk mengakhirinya secepat mungkin.
Walau bagaimanapun, tiada pengesahan lanjut dari Kremlin berhubung perkara ini, termasuk kemungkinan rundingan yang akan berakhir dengan gencatan senjata.
Sementara itu, jurucakap White House, John Kirby mengatakan Putin tidak menunjukkan sebarang kesediaan untuk mengadakan rundingan.
Namun, Kirby menegaskan bahawa Presiden Joe Biden sentiasa terbuka untuk berunding sekiranya pemimpin Rusia itu menunjukkan kesungguhan untuk berbincang.
Serangan Moscow ke atas Ukraine sejak Februari telah menyaksikan beberapa siri sekatan dikenakan terhadap negara itu, termasuk yang terbaru had harga minyak Rusia.
Putin sendiri berkata beliau akan menandatangani dekri awal minggu depan sebagai tindak balas Rusia ke atas tindakan tersebut.