‘Aduh! Nak kena cucuk-cucuk lagi ke lepas ni?’
Varian Covid-19, Omicron BA.4 dan BA.5 bakal menemui ‘penawarnya’ dengan Moderna Inc sedang berusaha mendapatkan kelulusan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS).
Difahamkan bahawa syarikat vaksin tersebut telah berjaya membangunkan suntikan penggalak (booster shot) berdasarkan ujian pra-klinikal yang mengandungi varian BA.4/BA.5 yang dominan bersama rantaian virus Covid asal.
Menurut kenyataan syarikat, mereka telah mengemukakan dapatan ujian tersebut dan sedang menjalankan percubaan peringkat pertengahan serta akhir yang dijangka siap pada bulan September.
Meneliti dapatan ujian pra-kinikal Moderna, 2 booster shot terhadap sub-varian BA.1 serta BA.4 dan BA.5 berjaya menunjukkan peneutralan berbanding dos penggalak Covid-19 asal.
Umumnya, tindakan Moderna tersebut sudah dijangka banyak pihak memandangkan syarikat pesaing iaitu Pfizer Inc dan BioNTech telah terlebih dahulu meminta kelulusan booster shot mereka dari penguatkuasa AS.
Pfizer dilaporkan meminta kelulusan terhadap kegunaan vaksin kecemasan ke atas individu melebihi 12 tahun sementara Moderna memohon pelepasan penggunaan dalam kalangan individu berusia 18 tahun.
Setakat ini AS bersama Britain dan beberapa anggota Kesatuan Eropah (EU) sedang giat menjalankan kempen vaksinasi semasa musim gugur bagi melindungi daripada peningkatan kes pada masa depan.
Dalam pada itu, FDA sebelum ini meminta pembuat vaksin untuk membangunkan vaksin yang menyasarkan 2 sub-varian tersebut tanpa perlu mendapatkan kebenaran mereka dalam menjalankan ujian terhadap subjek manusia.