Penyokong tegar Bitcoin (BTC) Mike Novogratz yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Galaxy Investment Partners tetap optimis dengan ramalannya terhadap BTC walaupun keadaan pasaran mata wang kripto berada dalam keadaan suram ketika ini.
Namun beliau melihat kesukaran BTC untuk bangkit semula secara mendadak menjelang akhir 2022 susulan aliran pelaburan institusi ke dalam industri kripto dijangka perlahan sehingga tahun depan.
Tambahnya lagi, BTC dianggap ideal jika berada dalam linkungan $20,000, $22,000 atau $30,000 buat masa sekarang ekoran aset digital tersebut tidak akan melepasi paras harga $30,000 dalam tempoh terdekat.
Novogratz juga mengulas bahawa BTC memainkan peranan dominan dalam melindungi nilai inflasi tetapi harga BTC akan terjejas sekiranya Federal Reserve (Fed) membuat keputusan untuk menaikkan kadar faedah dan harganya akan menaik apabila Fed membuat tindakan sebaliknya.
Sementara itu Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran kepada Fed dan bank pusat tentang risiko kemelesetan yang bakal berlaku jika mereka terus menaikkan kadar faedah.
Secara rekod, BTC berpeluang menjadi pilihan kebanyakan pelabur seandainya kemelesatan ekonomi global berlaku manakala ramalan harga oleh Novogratz akhirnya boleh menjadi kenyataan.
Kini harga BTC berada pada paras harga $20,000 iaitu naik 3.39% dalam tempoh 24 jam lalu. BTC telah membuat penurunan secara drastik sejurus selepas mencapai kemuncak $22,540 pada bulan September lepas.