Emas hitam kembali didagangkan stabil setelah mengalami kejatuhan pada minggu lalu ketika kebimbangan terhadap ketegangan geopolitik terus membelenggu pasaran.
Menjelang pembukaan sesi Eropah, niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan sedikit menokok pada $88.40 setong. Sementara dagangan WTI Amerika Syarikat pula meningkat pada $85.60 setong.
Kedua-dua penanda aras telah melonjak ke paras tertinggi terbaharu tujuh tahun pada minggu lalu, sebelum susut disebabkan pengambilan untung oleh pelabur yang menolak dagangan komoditi hitam itu sedikit lebih rendah.
Namun, kebimbangan terhadap gangguan bekalan minyak mentah terus menghantui pasaran, lebih-lebih lagi selepas Presiden AS, Joe Biden dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengerah beberapa ribu tenteranya ke sekutu NATO di Eropah Timur dan Baltik.
Ini menyebabkan dagangan komoditi hitam kembali mendapat permintaan untuk meningkat semula menghampiri paras tertinggi yang dicapai minggu lalu.
Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) mengatakan pada minggu lalu bahawa OPEC+ gagal memenuhi sasaran pengeluarannya sebanyak 790,000 tong sehari pada bulan Disember disebabkan pengeluar Afrika Barat, iaitu Nigeria dan Angola bergelut untuk meningkatkan pengeluaran.