Komoditi hitam didagangkan sedikit berubah pada hari Jumaat dengan berada di landasan untuk mencatat penurunan untuk bulan keempat berturut-turut.
Menuju pembukaan sesi Eropah, niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan berlegar pada $88 setong manakala dagangan WTI Amerika Syarikat pula susut pada $80 setong.
Kedua-dua penanda aras dijangka mencatatkan kerugian pertama pada suku ketiga sejak 2020, di mana dagangan Brent telah kehilangan sekitar 20% dan WTI AS rugi 23% sejak suku akhir Jun.
Di samping pasaran mata wang, dagangan minyak mentah turut terkesan dengan pengukuhan US dolar dan langkah agresif Federal Reserve (Fed) yang dikhuatiri akan mengheret ekonomi kepada kemelesetan.
Malah, komoditi hitam turut terkesan dengan dasar sifar Covid-19 di China yang telah merencatkan ekonomi dan permintaan dari pengimport utama minyak dunia itu.
Rentetan daripada itu, harga minyak gagal mengekalkan pengukuhan walaupun terdapat kebimbangan terhadap kekurangan bekalan dalam pasaran ekoran perang Ukraine-Rusia.
Pasaran kini mengharapkan lebih banyak pemotongan pengeluaran akan dibuat oleh OPEC dan sekutunya bagi mengembalikan kestabilan dalam pasaran.