Dagangan minyak mentah terus suram ketika pelabur menilai prospek permintaan dari China berikutan penularan Covid-19 yang semakin teruk di negara itu dan dikhuatiri akan membawa lebih banyak langkah penutupan dilaksanakan.
Pada sesi Asia, niaga hadapan minyak Brent dan WTI Amerika Syarikat mencatatkan penurunan lebih 2% dengan masing-masing didagangkan lemah pada sekitar harga $99 setong dan $95 setong.
Penularan jangkitan coronavirus terus meningkat di China, di mana 27,509 kes telah dilaporkan pada Isnin dengan 26,087 kes dicatatkan di Shanghai. Walaupun begitu, China masih meneruskan polisi ‘sifar Covid’ dan sekatan semasa di Shanghai mungkin tidak akan ditarik balik dalam tempoh terdekat.
Peningkatan itu telah mengganggu aliran perdagangan di pelabuhan dan menyebabkan beberapa penapis dalam pengimport minyak terbesar dunia terpaksa mengurangkan operasi.
Sementara itu, Amerika Syarikat turut menasihatkan rakyatnya pada hari Sabtu untuk mempertimbangkan semula perjalanan ke China, khususnya di Hong Kong, wilayah Jilin dan Shanghai disebabkan penyebaran Covid-19 yang semakin membimbangkan.
Dalam pada itu, dagangan minyak mentah juga masih terkesan dengan keputusan oleh negara-negara pengguna dari Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) untuk melepaskan bekalan daripada simpanan kecemasan mereka pada minggu lalu.