Dagangan minyak mentah terus terperosok lebih rendah pada Selasa susulan data ekonomi yang kurang memberangsangkan dalam ekonomi utama menyerlahkan prospek ekonomi global yang semakin suram.
Menjelang akhir sesi Asia, niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan pada $98 setong selepas kehilangan 3.7% pada sesi sebelumnya.
Sementara dagangan minyak mentah WTI Amerika Syarikat pula diniagakan pada $93 setong susulan kerugian hampir 5% yang dicatatkan pada Isnin.
Data terbaharu yang diterbitkan pada sesi New York menunjukkan sektor pembuatan Amerika Syarikat sedikit menurun pada Julai yang dijejaskan oleh kemerosotan pengeluaran dan pesanan baharu.
Bukan sahaja di AS, tetapi pelabur turut melihat aktiviti pembuatan di Eropah dan Asia bergelut untuk mendapatkan momentum pertumbuhan pada bulan lalu.
Pelabur kini menantikan pertemuan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya termasuk Rusia, yang dikenali sebagai OPEC+ untuk menetapkan pengeluaran untuk bulan September.