Pembukaan pasaran awal minggu menyaksikan dagangan minyak mentah gagal mencatat pemulihan berikutan US dolar yang lebih kuat, meletakkannya kekal didagangkan rendah.
Niaga hadapan minyak WTI Amerika Syarikat didagangkan suram pada $78 setong selepas kehilangan lebih 7% pada minggu lepas.
Sementara dagangan minyak mentah Brent pula diniagakan lebih lemah pada $86 setong susulan kerugian hampir 6% yang dicatatkan pada minggu lalu.
Kedua-dua penanda aras didagangkan lemah di paras terendah sejak Januari.
Pengukuhan US dolar turut melemahkan dagangan komoditi hitam, yang menyebabkan minyak mentah lebih mahal buat pemegang mata wang utama lain.
Dalam pada itu, tercetus spekulasi baharu bahawa OPEC+ mungkin mempertimbangkan campur tangan dalam pasaran minyak mentah sekali lagi.
Terdahulu pada bulan September, OPEC+ telah mengumumkan pemotongan kecil dalam pengeluaran minyaknya dan berjanji untuk mengambil tindakan selanjutnya sekiranya pergerakan pasaran yang tidak menentu berterusan.
Gergasi tenaga Saudi Aramco dan Crescent Petroleum baru-baru ini memberi amaran bahawa harga minyak yang lebih rendah akan membawa kepada kurang pelaburan dalam sektor yang menjadi punca kekurangan pengeluaran dan krisis tenaga global.