Harga minyak kekal berlegar pada paras terendah 6 bulan pada Isnin setelah kehilangan hampir 10% pada minggu lepas, dihimpit oleh kebimbangan terhadap permintaan yang lemah.
Pada sesi Asia, niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan pada $95 setong manakala dagangan WTI Amerika Syarikat pula kekal diniagakan rendah pada $89 setong.
Dagangan minyak juga telah kehilangan semua keuntungan yang dicetuskan oleh pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada Februari lalu.
Ini susulan kenaikan kadar faedah yang sangat agresif oleh bank pusat utama telah menimbulkan kebimbangan kelembapan ekonomi global yang boleh memberi kesan besar ada permintaan tenaga.
Bacaan data pekerjaan NFP AS pada Julai yang jauh lebih kukuh telah mencetuskan semula jangkaan untuk kenaikan kadar faedah lebih besar daripada Federal Reserve (Fed) pada September.
Dalam pada itu, data pada hujung minggu menunjukkan import minyak China kembali meningkat dari paras terendah 4 tahun pada bulan Julai dengan peningkatan sebanyak 8.8 juta tong sehari.
Namun, angka yang dicatatkan ini masih 9.5% lebih rendah daripada setahun lalu sekali gus menandakan impak polisi sifar Covid yang diamalkan China terus memberi impak kepada permintaan dari negara itu.