Dagangan komoditi hitam tergelincir dari puncak tertinggi tujuh tahun berikutan rundingan nuklear Iran dan Amerika Syarikat disambung semula.
Isyarat positif oleh Washington dan Tehran telah menimbulkan sedikit keyakinan bahawa kedua-dua pihak sedang berusaha untuk memulihkan perjanjian nuklear yang pastinya akan membawa kepada penyambungan semula eksport minyak mentah dari Iran.
Susulan laporan tersebut, dagangan minyak susut lebih 2% disebabkan kebimbangan bahawa bekalan dalam pasaran akan meningkat.
Namun pada sesi Asia hari ini, komoditi hitam dilihat sedikit pulih selepas menyaksikan laporan bekalan minyak mentah AS yang menunjukkan penurunan tidak dijangka pada minggu lalu.
Terbaharu, Institut Petroleum Amerika (API) melaporkan inventori minyak AS berkurang sebanyak 2 juta tong melebihi jangkaan untuk penurunan hanya 675,000 tong.
Selain itu, data daripada API turut menunjukkan bekalan petrol susut sebanyak 1.1 juta tong pada minggu lepas, sementara stok penyulingan berkurang sebanyak 2.2 juta tong.
Pada waktu penulisan, niaga hadapan minyak mentah Brent diperdagangkan stabil pada $90.90 setong, sementara dagangan WTI Amerika Syarikat pula sedikit susut di sekitar harga $89.45 setong.