Menghitung detik untuk penerbitan laporan inflasi Amerika Syarikat, US dolar terus memaparkan pergerakan yang terbatas pada sesi Eropah.
Berbanding sekumpulan mata wang utama, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback menyusut di bawah 108.00.
Pelabur kini mengambil pendekatan berhati-hati memandangkan jangkaan lemah terhadap inflasi AS pada bulan Ogos mungkin akan memberi pandangan baharu untuk penetapan dasar oleh Federal Reserve (Fed).
Data inflasi tahunan yang dijadualkan keluar pada sesi New York kelak, dijangka akan mencatatkan peningkatan lebih rendah kepada 8.1% berbanding 8.5% yang dicatatkan bulan sebelumnya.
Sementara menantikan penerbitan data tersebut, pelabur telah diperlihatkan terlebih dahulu dengan laporan pekerjaan UK yang disiarkan pada pembukaan sesi Eropah.
Dengan catatan yang memberangsangkan, kadar pengangguran UK tanpa dijangka turun ke paras terendah terbaharu 48 tahun pada 3.6% pada Julai, manakala pertumbuhan upah pula meningkat lebih tinggi daripada dijangkakan.
Ini sekali gus memberi dorongan buat mata wang pound untuk melonjak, semakin jauh meninggalkan paras terendah 37 tahun yang disentuhnya minggu lalu.
Di samping itu, dolar Aussie juga meningkat lebih tinggi sementara dolar New Zealand dan Kanada pula bergerak mendatar di tengah-tengah penyusutan US dolar.