Emas kembali merosot rendah selepas didorong jatuh oleh US dolar yang kuat dan hasil perbendaharaan AS 10 tahun lebih tinggi.
Pada sesi Asia, spot emas didagangkan menurun pada sekitar harga $1,840 per auns, jatuh lebih jauh daripada paras tertinggi satu bulan yang dicapai minggu lalu pada $1,874 per auns.
Selepas menyaksikan bacaan data pekerjaan NFP Amerika Syarikat yang positif, pelabur menguatkan jangkaan kepada Federal Reserve (Fed) untuk terus mengekalkan langkah agresifnya dalam mengetatkan dasar.
Menjelang mesyuarat polisi FOMC pada 15 Jun yang dijangka meningkatkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas, pelabur akan meneliti bacaan data inflasi pada Jumaat minggu ini terlebih dahulu untuk petunjuk berapa lama lagi Fed akan mengekalkan haluan hawkish.
Mesyuarat polisi Bank Pusat Eropah (ECB) juga menjadi tumpuan pelabur minggu ini yang dijangka akan memberi indikasi mengenai sudah tiba masanya mereka menaikkan kadar faedah.
Kadar faedah yang lebih tinggi menjejaskan daya tarikan emas kerana ia meningkatkan kos peluang untuk memegang logam berharga itu.