Ketika banyak ekonomi terkesan akibat perang di Ukraine, negara-negara ini pula kaut untung dengan kemasukan pendatang Rusia dan kekayaan mereka.
Georgia, yang berada di sempadan selatan Rusia menyaksikan ekonomi mereka berkembang pesat di tengah-tengah pergolakan yang berterusan.
Sekurang-kurangnya 112,000 rakyat Rusia telah berhijrah ke Georgia tahun ini, di mana gelombang pertama terjadi ketika awal pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 24 Februari dengan ketibaan hampir 43,000 orang.
Sementara gelombang kedua pula berlaku selepas pengerahan ketenteraan Presiden Vladimir Putin pada September, tetapi jumlah kemasukannya tidak dapat ditentukan.
Ekonomi Georgia telah menerima impak yang besar daripada kemasukan ini yang sudah sedia berkembang daripada pasca Covid-19.
Malah, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan ekonominya berkembang sebanyak 10% pada 2022, meningkat tiga kali ganda daripada unjuran awalnya pada April.
Ketibaan pendatang Rusia turut membawa kemasukan wang mereka bersama di mana National Bank of Georgia mengatakan Moscow memindahkan $1.412 bilion ke akaun negara itu, iaitu lebih empat kali ganda $314 juta yang dipindahkan dalam tempoh yang sama pada 2021.
Dalam pada itu, Armenia dan Turki turut meraih keuntungan dengan kebanjiran pendatang Rusia, di mana IMF mengunjurkan ekonomi masing-masing dijangka berkembang 11% dan 5%.
Turki dengan bermurah hati memberi permit kediaman kepada 118,626 warga Rusia tahun ini, melihatkan satu perlima daripada jualan hartanah asingnya didominasi oleh pendatang dari negara itu.
Tanpa disangka-sangka, rupanya terdapat negara yang mendapat keuntungan daripada perang Rusia dan Ukraine. Sungguhpun begitu, tahun 2023 yang semakin hampir dijangka akan lebih mencabar buat dunia dengan ramalan pertumbuhan lebih perlahan.