Kadar inflasi UK sekali lagi mengejutkan pasaran dengan mencatatkan peningkatan lebih tinggi daripada jangkaan pada bulan Disember.
Menurut Pejabat Statistik Negara (ONS), indeks harga pengguna (CPI) UK melonjak ke paras tertinggi hampir 30 tahun pada bulan lepas dengan catatan 5.4% daripada 5.1% pada November. Angka yang dicatatkan juga lebih baik dari jangkaan untuk meningkat 5.2%.
Ini merupakan bacaan tertinggi pernah dicatatkan sejak Mac 1992, di mana sebahagian besarnya didorong oleh peningkatan kos makanan dan minuman; restoran dan hotel; perabot dan barangan rumah; serta pakaian dan kasut.
Sementara itu, inflasi teras (tidak termasuk harga makanan dan tenaga) pula meningkat kepada 4.2% daripada 4.0% sebelumnya, dan melebihi ramalan pasaran untuk kenaikan 3.9%.
Lonjakan terbaru yang dicatatkan ini mungkin bakal menggoncang pendekatan dasar Bank Pusat England (BOE) sekali lagi, yang sebelum ini telah bertindak menaikkan kadar faedahnya pada bulan lalu.
Reaksi awal yang dipamerkan pound malangnya tidak seagresif seperti yang disangkakan, memperlihatkan mata wang itu didagangkan sedikit berubah pada sekitar harga 1.3600 berbanding USD yang kuat.