Minyak mentah sedikit berubah pada hari Khamis dengan dagangan menuju penurunan bulanan pertama sejak November ekoran terhimpit oleh kebimbangan terhadap kelembapan ekonomi.
Ketika sesi Eropah, niaga hadapan minyak WTI Amerika Syarikat berlegar pada sekitar harga $109 setong, manakala dagangan Brent pula sedikit merosot pada $112 setong.
Komoditi itu sebelum ini mengukuh di paras tertinggi hampir tiga bulan susulan prospek bekalan minyak dalam pasaran yang semakin mengetat di tengah-tengah pemulihan permintaan yang kuat.
Bagaimanapun, langkah agresif yang diambil bank pusat untuk mengekang inflasi yang disebabkan kenaikan harga tenaga telah mengehadkan dagangan emas hitam itu kekal mengukuh.
Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell memberi amaran mengenai tindakannya untuk menaikkan kadar faedah boleh menyebabkan kemelesetan ekonomi AS, tetapi risiko terbesar buat masa ini adalah inflasi dan mereka perlu memeranginya.
Pasaran minyak kini menantikan mesyuarat OPEC yang berlangsung pada hari ini tentang penetapan pengeluaran minyak untuk bulan Ogos selepas memutuskan untuk meningkatkan output pada Julai sebelum ini.