Jerman tampil dengan ‘perisai pertahanan’ bernilai €200 bilion, termasuk had harga gas dan pemotongan cukai jualan untuk bahan api bagi melindungi syarikat dan isi rumah daripada kesan kenaikan harga tenaga.
Ekonomi terbesar Eropah itu cuba mengekang lonjakan kos tenaga (gas dan elektrik) yang sebahagian besarnya telah terkesan akibat pengurangan bekalan gas Rusia ke Kesatuan Eropah (EU).
Canselor Jerman, Olaf Scholz berkata langkah subsidi itu diperkenalkan untuk menurunkan harga tenaga.
Secara terperinci, kerajaan akan memperkenalkan ‘brek’ harga kecemasan bagi gas, di mana butirannya akan diumumkan pada bulan depan.
Ia juga membatalkan cukai yang dirancang sebelum ini untuk membantu syarikat yang bergelut dengan harga pasaran yang tinggi.
Brek harga elektrik sementara pula akan memberi subsidi penggunaan asas untuk pengguna serta syarikat kecil dan sederhana. Cukai jualan ke atas gas akan diturunkan kepada 7% daripada 19%.
Tambahan daripada itu, dua loji nuklear yang sepatutnya ditutup menjelang akhir tahun ini dibenarkan beroperasi sehingga musim bunga 2023 untuk membantu isi rumah syarikat dalam mengharungi sebarang gangguan bekalan pada musim sejuk.
Pakej yang diperkenalkan Jerman ini telah disambut baik buat kebanyakan industri dan pastinya memberi kelegaan buat isi rumah yang bergelut dengan kos tenaga yang tinggi.