Kelemahan US dolar membawa mata wang loonie ke paras tertinggi dua bulan pada hari Rabu, selain turut mendapat dorongan daripada harga minyak mentah yang meningkat lebih tinggi.
Kenyataan Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell mengenai pengurangan balance sheet tidak akan berlaku dalam masa terdekat, dilihat sebagai kurang hawkish dan tidak agresif untuk melakukan pengetatan.
Dalam pada itu, berbeza dengan data NFP AS yang kurang memberangsangkan, laporan pekerjaan Kanada pula sebaliknya dengan menunjukkan bacaan melebihi jangkaan pasaran pada bulan Disember.
Sementara itu, pengukuhan dalam pasaran tenaga terus memberi sokongan buat dolar Kanada, lebih-lebih lagi selepas dagangan minyak mentah dunia meningkat ke tahap tertinggi sejak November.
Ini kerana, ekonomi Kanada sangat bergantung kepada pasaran minyak mentah, di mana ia menyumbang kira-kira 11% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Pada awal sesi Eropah, dolar Kanada didagangkan kukuh pada sekitar harga 1.2550 berbanding US dolar.